Thursday, February 14, 2013

Menghilangkan parut campak.

Biasanya demam campak akan meninggalkan parut yang ketara.

  Cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan daun pegaga bersama akarnya sekali sebanyak mana yang dikehendaki.  Cuci bersih lalu diblender lumat. Campurkan dengan bedak sejuk .  Lumurkan bahan ini kemuka atau tempat-tempat yang berparut.

Lakukan selalu untuk mendapatkan kesan yang memuaskan.

Tauge tetap segar.

Ramai wanita sukar menyimpan tauge beberapa hari kerana ia akan bertukar warna keperangan serta lembik dan tidak segar lagi.

Bagi mengekalkan kesegarannya, mula-mula masukkan tauge ke dalam bekas dan masukkan air sehingga menutup paras tauge itu.

Setelah itu masukkan beberapa keping asam gelugur atau asam keping ke dalam bekas tadi.  Ia boleh disimpan di dalam  peti sejuk mahupun tanpa peti sejuk. Tauge akan segar dan lambat layu.

Menghilangkan bau ketiak.

Ramai orang mempunyai masalah ketiak berbau.  Ia amat memalukan terutama bagi yang bekerja  dan apabila menghadiri majlis keramaian.

Cara mudah dan tanpa belanja mahal ialah dengan menyapukan air kapur di ketiak setiap kali selepas mandi.  Ia bukan sahaja akan menghilangkan bau ketiak malah melambatkan pertumbuhan bulu ketiak.  Selamat mencuba.

Melicinkan kain sutera.

Kain sutera memang sukar digosok licin. Namun cubalah cara ini.

Kain sutera direnjis air sejuk keseluruhannya.  Setelah itu kain sutera tadi dilipat elok-elok dan dimasukkan ke dalam beg plastik.  Bungkusan tadi disimpan di dalam peti sejuk semalaman.

Kemudian, keluarkan kain sutera tadi dan kita dapati ia menjadi lembap dengan wap peti sejuk.  Barulah digosok.  Ia akan menjadi sungguh licin dan cantik.

Jadi jika ingin memakai kain sutera keesokan hari, buatlah persediaan sehari lebih awal ye...

Kek sentiasa lembap.

Mungkin anda inginkan kek sentiasa lembap walaupun setelah disimpan lama.  Caranya ialah dengan menyimpan kek ke dalam bekas bertutup bersama-sama sepotong roti tawar.  Jika roti itu sudah kering, gantikan roti dengan roti yang baharu.

Anda juga boleh menyimpan kek itu bersama-sama sebiji epal yang sudah dikupas.

Kek anda akan sentiasa lembap malah tahan lebih lama. Cubalah...

Telinga dimasuki serangga.

Seksa rasanya jika telinga dimasuki serangga, hanya Allah sahaja yang tahu.

Untuk mengeluarkan binatang yang masuk ke dalam telinga, cuba lakukan petua ini.

Anda tutupkan lubang telinga yang tidak dimasuki binatang dan tariklah nafas panjang.  Kemudian anda tutupkan hidung anda hembuskan nafas kuat-kuat sehingga binatang itu keluar dari lubang telinga.  Cubalah.

Membuang kutil.

Bagi anda yang mempunyai kutil  tentulah mustahil untuk memotongnya, kecuali dengan rawatan doktor.

Namun anda boleh mencuba dengan kaedah tradisional ini.  Gunakan getah betik.  Sapukannya di sekeliling kutil anda itu. Buatlah selalu sehingga kutil itu gugur sendiri.

Mengubati tekanan darah rendah.

Bayam merah amat mujarab  untuk meengubati tekanan darah rendah.

Ambil bayam merah secukupnya lalu direbus bersama 2 liter air.  Campurkan bahan-bahan perasa untuk membuka selera jika perlu.  Amalkan 3 hari berturut-turut.  Mudah-mudahan tekanan darah menjadi seperti sediakala.

Menghilangkan warna kain yang luntur.

Mencuci baju baru dibeli adakala menimbulkan masalah apabila baju itu kita cuci bersama kain berwarna putih.  Jika warnanya luntur, ia akan melekat pada pakaian warna putih.  Untuk menghilangkan  warna yang melekat pada pakaian itu, masukkan cuka dan garam ke dalam pakaian yang  telah direndam di dalam air.  Biarkan semalaman.

Menghilangkan panau di muka.

Kejelitaan wanita terletak pada raut muka yang bersih dan asli.  Sudah tentu menjadi masalah jika terdapat kecacatan seperti panau yang meninggalkan kesan yang hodoh dan bercapuk.

Anda boleh menghilangkannya dengan menggunakan halia atau lengkuas dan limau tetapi bagi saya lengkuaslah yang paling sesuai.

Lengkuas yang penjangnya kira-kira 2 cm diparut halus kemudian dibancuh dengan sedikit airsuam kira-kira 3 sudu besar.  Kemudian dicampur dengan bedak sejuk.

Bila  sudah sebati sapukanlah ke muka rata-rata.  Lakukannya setiap malam sebelum tidur sehingga mendapat kesan yang diingini.

Penawar ketumbit.

Mata yang cantik menjadi idaman semua wanita dan jejaka, tetapi menjadi masalah apabila mata sakit  atau ditumbuhi ketumbit.

Mudah sahaja mengubatinya.  Ambil dua keping asam keping dan rendam di dalam air suam  seharian.  Kemudian titiskan air asam keping tadi ke dalam mata tiga kali sehari selama  dua hari.  Tentu mata anda akan pulih seperti sediakala.

Satu lagi cara yang mudah ialah, sebelum ketumbit keluar, sebenarnya kita akan merasa tidak selesa pada mata. Pada waktu begini, ambillah benang dan lilitkan pada  jari hantu sebanyak 7 kali.  Jika mata kanan, maka lilitkan jari hantu sebelah kiri dan sebaliknya jika mata kiri yang sakit, maka lilitkan jari hantu sebelah kanan.  Baca selawat nabi setiap kali melilit jari.

InsyaAllah, sakit dan rasa tidak  selesa akan hilang dan ketumbit tidak jadi keluar.

Melatih kucing buang air di luar rumah.

Kucing binatang peliharaan yang sangat diminati.  Ia mudah jinak dan manja apabila dibelai.  Tetapi ada kalanya kucing suka membuang air besar atau kecil  di merata-rata tempat.

Menurut petua orang tua-tua, untuk membiasakan kucing membuang air di luar rumah, senang sahaja.

Ukur panjang kucing dengan lidi dari hujung kepala hingga ke hujung ekor dan potong lidi itu.  Kemudian cucukkan ia di atas tanah tempat yang dikehendaki ia membuang air.  Bawa anak kucing itu tiga pagi berturut-turut ke tempat itu.  Insya Allah ia akan biasa ke tempat itu hingga ia dewasa.

Cara membersihkan kerang.

Selalunya bagaimanakah anda membasuh kerang?  Tentunya menyulitkan sama ada menggunakan berus atau digosokkan pada simen yang kasar dan sebagainya.

Satu cara yang mudah untuk membasuh kerang ialah menggunakan daun jambu batu.

Ambil beberapa tangkai daun jambu batu dan ramas-ramas bersama-sama kerang tadi.  Siramlah kerang tadi dengan air beberapa kali.  Kemudian barulah anda mencucinya seperti biasa.

Cara ini selain menjimatkan masa, akan menjadikan kerang kelihatan bersih.

Selamat mencuba.

Tanggalkan kesan susu pada botol susu.

Kesan susu basi dan juga baunya amat kurang menyenangkan.  Namun untuk menghilangkannya bukanlah sukar sebenarnya.

Anda hanya perlu masukkan beberapa ketul garam bersama-sama sedikit air ke dalam botol itu.  Goncangkan sehingga  garam hancur dan larut.  Kemudian bersihkan botol seperti biasa.

Menghilangkan kesan gincu dan minyak pada pakaian.

Anda mengalami kesukaran untuk menghilangkan kesan minyak dan gincu pada pakaian?  Memang banyak serbuk cucian hebat yang diiklankan di televisyen.  Apa kata kita cuba petua lama ini .

Cuba ambil beberapa titik cuka dan titikkan pada tempat yang terkena itu. Insya-Allah kesan itu akan hilang.

Namun satu peringatan, jangan digunakan untuk kain sutera ye...

Menghilangkan kesan periuk hangus.

Kalau periuk anda didapati hangus, ini ada satu petua untuk anda mencubanya.

Tuangkan larutan cuka yang telah dicampurkan dengan satu sudu garam.  Rendamkan periuk yang hangus tadi selama satu malam.

Pada keesokan harinya, buanglah larutan tersebut dan cucilah periuk tadi bersih-bersih.  Boleh dilakukan pada kuali yang hangus juga.

Cara mudah mengopek pisang.

Untuk memudahkan proses menanggalkan kulit pisang nangka muda untuk dibuat kerepek, belah dulu kulit pisang itu, jangan sampai terkena isinya.  Kemudian rendam didalam air selama  dua jam.  Pasti anda boleh mengopeknya menggunakan tangan sahaja.

Melazatkan kacang goreng.

Kita tentu ingin kacang goreng yang garing, empuk dan lazat.

Ini dapat dihasilkan jika kacang yang dikupas kulitnya direndam di dalam santan daripada sebiji kelapa, dibubuh sedikit garam serta bawang putih yang ditumbuk terlebih dahulu.

Setelah setengah jam, goreng kacang menggunakan minyak yang cukup panas.  Pasti hasilnya menggembirakan.

Menghilangkan sedu.

Kadangkala secara tiba-tiba sahaja kita mengalami sedu.  Untuk menghilangkannya, cubalah petua ini.   Apabila saja tersedu, minumlah air kosong dengan menggunakan straw dan tutup kedua-dua belah telinga anda serentak.  Insya-Allah, sedu anda akan hilang serta merta.

Masakan keladi tidak gatal.

Mungkin ramai gemar makan masakan keladi, baik yang digoreng atau direbus.  Tetapi mungkin tidak ramai tahu cara sebaiknya menghilangkan rasa gatal keladi.

Petuanya mudah saja. Apabila mengupas kulit keladi, hendaklah mengupasnya secara menyongsang iaitu dari bahagian bawah yang tertanam ke pangkal ubi.

Cara ini  akan menyingkirkan getahnya dan seterusnya apabila dimakan anda tidak akan terasa gatalnya.

Kek lembut tanpa telur.

Jikalau membuat kek tanpa telur, cuba petua ini untuk melembutkan lagi kek.  Masamkan setengah cawan susu dengan sedikit perahan lemon.  Kemudian campurkan susu masam ini bersama bahan- bahan lain.  Cara ini pasti menghasilkan kek yang lembut.

Kentang Cepat Empuk

Kentang cepat empuk. Untuk mencepatkan tempoh empuknya, masukkan sedikit minyak masak dan lima hirisan bawang merah ke dalam air rebusan kentang itu.