Thursday, February 14, 2013

Menghilangkan parut campak.

Biasanya demam campak akan meninggalkan parut yang ketara.

  Cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan daun pegaga bersama akarnya sekali sebanyak mana yang dikehendaki.  Cuci bersih lalu diblender lumat. Campurkan dengan bedak sejuk .  Lumurkan bahan ini kemuka atau tempat-tempat yang berparut.

Lakukan selalu untuk mendapatkan kesan yang memuaskan.

Tauge tetap segar.

Ramai wanita sukar menyimpan tauge beberapa hari kerana ia akan bertukar warna keperangan serta lembik dan tidak segar lagi.

Bagi mengekalkan kesegarannya, mula-mula masukkan tauge ke dalam bekas dan masukkan air sehingga menutup paras tauge itu.

Setelah itu masukkan beberapa keping asam gelugur atau asam keping ke dalam bekas tadi.  Ia boleh disimpan di dalam  peti sejuk mahupun tanpa peti sejuk. Tauge akan segar dan lambat layu.

Menghilangkan bau ketiak.

Ramai orang mempunyai masalah ketiak berbau.  Ia amat memalukan terutama bagi yang bekerja  dan apabila menghadiri majlis keramaian.

Cara mudah dan tanpa belanja mahal ialah dengan menyapukan air kapur di ketiak setiap kali selepas mandi.  Ia bukan sahaja akan menghilangkan bau ketiak malah melambatkan pertumbuhan bulu ketiak.  Selamat mencuba.

Melicinkan kain sutera.

Kain sutera memang sukar digosok licin. Namun cubalah cara ini.

Kain sutera direnjis air sejuk keseluruhannya.  Setelah itu kain sutera tadi dilipat elok-elok dan dimasukkan ke dalam beg plastik.  Bungkusan tadi disimpan di dalam peti sejuk semalaman.

Kemudian, keluarkan kain sutera tadi dan kita dapati ia menjadi lembap dengan wap peti sejuk.  Barulah digosok.  Ia akan menjadi sungguh licin dan cantik.

Jadi jika ingin memakai kain sutera keesokan hari, buatlah persediaan sehari lebih awal ye...

Kek sentiasa lembap.

Mungkin anda inginkan kek sentiasa lembap walaupun setelah disimpan lama.  Caranya ialah dengan menyimpan kek ke dalam bekas bertutup bersama-sama sepotong roti tawar.  Jika roti itu sudah kering, gantikan roti dengan roti yang baharu.

Anda juga boleh menyimpan kek itu bersama-sama sebiji epal yang sudah dikupas.

Kek anda akan sentiasa lembap malah tahan lebih lama. Cubalah...

Telinga dimasuki serangga.

Seksa rasanya jika telinga dimasuki serangga, hanya Allah sahaja yang tahu.

Untuk mengeluarkan binatang yang masuk ke dalam telinga, cuba lakukan petua ini.

Anda tutupkan lubang telinga yang tidak dimasuki binatang dan tariklah nafas panjang.  Kemudian anda tutupkan hidung anda hembuskan nafas kuat-kuat sehingga binatang itu keluar dari lubang telinga.  Cubalah.

Membuang kutil.

Bagi anda yang mempunyai kutil  tentulah mustahil untuk memotongnya, kecuali dengan rawatan doktor.

Namun anda boleh mencuba dengan kaedah tradisional ini.  Gunakan getah betik.  Sapukannya di sekeliling kutil anda itu. Buatlah selalu sehingga kutil itu gugur sendiri.